Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, 26 August 2014

[Ketahui Waktu Subur Seseorang Wanita]


[Ketahui Waktu Subur Seseorang Wanita] | Biasanya, kitaran haid wanita berlaku setiap bulan secara puratanya ialah 28 hingga 30 hari. Namun, setiap wanita mempunyai kitaran haidnya tersendiri. Ada yang 25 hari dan ada yang lambat sehingga 35 hari. Tetapi, secara puratanya ialah 28 hingga 30 hari. Terdapat beberapa fasa di dalam kitaran haid.

[Ketahui Waktu Subur Seseorang Wanita]
 
HARI KE- 1 HINGGA KE-4

Ianya dikenali sebagai fasa pengeluaran haid (menstruation). Ketika ini darah haid akan keluar. Hari pertama period adalah penting untuk diketahui kerana ia adalah di mana fasa ini bermula. Pada hari pertama haid, ia perlu ditanda di kalendar dan begitu juga tarikh tamatnya haid. Sebaik-baiknya ditanda setiap bulan sekiranya anda ingin merancang untuk mengandung. Anda boleh mengagak kitaran period anda beberapa hari di dalam sebulan. 

HARI KE- 5 HINGGA KE-13 

Ianya dikenali sebagai fasa follicular. Pada fasa ini, hormon estrogen meningkat. Ketika fasa follicular ini, darah akan berkumpul di dinding rahim dan menebal untuk persediaan mengandung. Di kawasan ovari pula, telur yang berada di dalam induknya akan menjadi semakin matang. 

HARI KE-14 

Waktu inilah satu proses peneluran yang dipanggil ovulasi berlaku. Telur akan terkeluar daripada induknya disebabkan oleh peningkatan mendadak sejenis hormon yang dipanggil Luteinizing Hormone (LH). Telur ini sekiranya tidak disenyawakan oleh sperma akan mati dan hilang. Sekiranya ia disenyawakan, ia akan turun melalu saluran falopio ke rahim. 

HARI KE-15 HINGGA KE-28 

Ia dikenali sebagai fasa luteal atau fasa secretory. Selepas telur dikeluarkan dari induknya, sejenis hormon yang dikenali sebagai progestrone di rembes daripada induknya (corpus luteum). Ini menyebabkan dinding rahim semakin menebal. Setelah progestrone semakin berkurang kerana tiada persenyawaan berlaku, maka dinding ini akan runtuh. Proses akan mengalami kitaran semula pada hari pertama. 

WAKTU SUBUR 

Waktu yang terbaik untuk bersama suami-isteri ialah pada hari ovulasi berlaku. Ini adalah kerana ketika itu telur baru sahaja keluar daripada induknya. Sebenarnya, waktu kesuburan yang paling tepat ialah lebih kurang 14 hari daripada hari pertama haid seterusnya atau ketika fasa luteal bermula. Ini bermakna kesuburan hanya berlaku sehari sahaja di setiap bulan. 

Contohnya, pusingan haid seorang wanita itu ialah 28 hari, maka hari subur ialah 28 hari - 14 hari = 14 hari. Jadi, hari ke-14 itu adalah hari yang paling subur. Katalah period bulan itu 30 hari, maka 30 hari - 14 hari = hari ke 16 ialah hari subur bukan lagi hari ke-14. Sekiranya periodnya 35 hari maka 35-14 = hari ke -21 adalah waktu suburnya. 

Ini adalah kerana fasa luteal pada kiraanya adalah biasanya tepat 14 hari setelah berlakunya ovulasi, sedangkan fasa folicullar boleh berubah-ubah. Jadi waktu subur adalah 14 hari sebelum hari pertama period yang seterusnya. Sekiranya period anda adalah tetap 28 hari, tak jadi masalah untuk mengira waktu subur anda. Sekiranya period anda berubah-ubah, inilah timbulnya masalah mengira waktu subur.

No comments:

Post a Comment